Pengendali Malaysia, Peter Cklamovski mahu pasukan itu dapat mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sepanjang tahun 2025.
Hasrat itu dizahirkan beliau apabila ditanya tentang perancangan skuad negara untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 seterusnya menentang Nepal pada November ini.
Sejak mengambil alih tugas sebagai jurulatih pada awal tahun ini, Cklamovski membantu skuad negara kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan.
Ini termasuk kejayaan mengikat Cape Verde 1-1 dan menumbangkan pasukan Asia Barat, Palestin pada September lalu.
Justeru, Cklamovski melihat aksi menentang Nepal sebagai peluang terbaik untuk melebarkan rekod tanpa kalah tersebut sehingga tahun hadapan.
“Buat masa ini, kita menerajui kumpulan, kita terima dan sokong pencapaian itu. Ia sesuatu yang mengujakan (tentang perkara itu).
“Pemain-pemain akan meninggalkan kem hari ini dan kembali ke kelab masing-masing. Saya galakkan mereka untuk bekerja keras dan kekal cemerlang kerana kita ada satu lagi aksi sukar menentang Nepal.
“Tiga mata penting untuk kita dapatkan (dalam Kumpulan F) dan kekal tanpa kalah untuk tahun 2025,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Kemenangan 5-1 ke atas Laos membantu Harimau Malaya terus menerajui Kumpulan F dengan 12 mata.