Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkongsi sebab beliau kerap menggunakan formasi 3-4-3 untuk pasukan itu di peringkat antarabangsa.
Selepas mengharungi lima perlawanan, ramai peminat menyedari formasi 3-4-3 menjadi asas bekas jurulatih FC Tokyo itu untuk membentuk skuad Malaysia yang mantap.
Ini termasuk penggunaan bek sayap sebagai sokongan kepada pemain sayap di bahagian serangan. Antara pemain yang digunakan di posisi itu ialah Dion Cools, Stuart Wilkin, Gabriel Palmero, Quentin Cheng dan La’Vere Corbin Ong.
Formasi tersebut bukan saja memastikan rekod tanpa kalah dilakar anak buah Cklamovski dalam lima perlawanan.
Malah, ini turut menjadi resepi Harimau Malaya meraih keputusan mengejutkan ke atas lawan yang memiliki ranking lebih baik seperti Cape Verde, Palestin dan Vietnam.
Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Cklamovski mengakui beliau lebih cenderung kepada formasi 4-3-3. Ini berdasarkan formasi yang digunakan beliau dalam karier kejurulatihannya.
Pada masa sama, Cklamovski melihat formasi tersebut sebagai formasi terbaik untuk memastikan Harimau Malaya tampil cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Jika anda tanya saya, jika anda lihat karier saya, saya lebih kepada (formasi) 4-3-3. Itu bukan yang paling penting buat saya, ia benda paling penting untuk dapatkan yang terbaik daripada pasukan.
Apa yang sesuai dengan para pemain untuk bermain bola sepak yang bagus. Kita membina bola sepak kita dengan model 3-4-3 dan asas bola sepak kita akan kekal sama walaupun kita kadang-kadang guna empat pertahanan,” katanya semasa menjadi tetamu Bola Itu Life.
Cklamovski turut memaklumkan beliau baru selesai menganalisis persembahan pasukan bersama barisan kejurulatihannya baru-baru ini.
Jurulatih Australia itu percaya masih ada banyak cara untuk mengangkat Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi selepas ini.
“Saya baru habis analisis (persembahan pasukan) bersama para jurulatih pagi ini. Terdapat banyak cara untuk pasukan ini jadi lebih baik dalam permainan ini yang buatkan saya teruja,” ujarnya.
“Ini bermakna lebih banyak kemajuan kepada pasukan, para pemain, mencipta banyak peluang, menjaringkan lebih banyak gol, dapatkan lebih ramai pemain dalam kotak penalti (dan) terus mendominasi pasukan.”
Malaysia kini mengalihkan fokus untuk dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober ini.