Peter Cklamovski Minta Maaf, Hanya Rujuk Kenyataan FAM
MakanBola
MALAYSIA NT

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memohon maaf berkenaan kenyataan ‘pedas’ terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Menurut Peter Cklamovski, beliau tiada niat untuk menghentam FAM dan hanya mengeluarkan kenyataan berdasarkan siaran media badan induk itu baru-baru ini.

“Saya langsung tidak bermaksud untuk tak menghormati FAM,” ujar Peter Cklamovski ringkas.

“Sebenarnya, saya tidak mengatakan apa-apa yang berbeza daripada apa yang telah mereka (FAM) nyatakan sendiri.”

“Mereka telah mengeluarkan kenyataan media minggu lalu, dan saya hanya merujuk kepada kenyataan itu.”

“Saya tidak tahu apa-apa selain daripada maklumat tersebut. Jadi kenyataan saya tempoh hari bukan bertujuan untuk tidak menghormati FAM.”

“Jika ada yang merasakan saya tidak menghormati FAM, saya mohon maaf. Itu bukan niat saya, dan saya juga sebenarnya tidak menyatakan apa-apa perkara baharu.”

“FAM sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa isu ini berpunca daripada kesilapan pentadbiran. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, dan ia langsung tiada kena-mengena dengan kami.”

“Itu kenyataan rasmi mereka, dan saya hanya berpandukan kepada maklumat tersebut,” kata Peter Cklamovski ketika sidang media sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 bertemu pasukan kebangsaan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk makluman, tempoh hari Peter Cklamovski mengeluarkan satu kenyataan seolah olah menghentam FAM iaitu “Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah terkubur”.

Selepas itu, pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi hanya merespons “Saya fikir kita patut melupakan kenyataan dia pasal FAM itu. Yang penting sekarang, saya nak mengucapkan tahniah kepada Peter kerana dapat menundukkan Laos 3-0 semalam.”

“Saya fikir buat masa sekarang, lebih baik Peter sendiri fokus kepada perlawanan kedua iaitu aksi timbal balik ini (di Stadium Nasional Bukit Jalil),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Malaysia meraih kemenangan 3-0 ke atas Laos menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim.

Selepas ini, Harimau Malaya akan menentang Laos untuk aksi keempat Kumpulan F pada 14 Oktober ini.