Peter Cklamovski: Saya Perlu Percaya Kepada Naluri
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski percaya keputusan menarik diri daripada saingan CAFA Nations Cup sebagai satu keputusan yang tepat.

Sebelum ini, arena bola sepak negara dikejutkan dengan berita Malaysia menarik diri daripada kejohanan bola sepak berprestij Asia Tengah itu.

Antara faktor di sebalik keputusan tersebut ialah isu pelepasan pemain, isu logistik dan isu jarak perjalanan yang jauh.

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi ramai pihak. Malah, Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) turut menyatakan rasa kesal dengan keputusan yang dibuat Harimau Malaya.

Cklamovski menghormati pandangan yang dilontarkan ramai pihak berhubung keputusan tersebut. Pada masa sama, beliau percaya ini keputusan terbaik demi menjaga reputasi Harimau Malaya.

“Saya perlu percaya kepada naluri saya. Saya perlu percayakan naluri saya tentang apa yang terbaik untuk pasukan dan para pemain. Jadi, dalam hal ini, saya fikir kita membuat keputusan yang tepat.

“Saya tahu ramai penyokong yang kecewa kerana kita tidak menyertai CAFA (Nations Cup) dan memberi cabaran hebat, saya hormati (pandangan semua). Ada bahagian diri saya juga kecewa kerana kita tidak dapat melakukannya.

“Tetapi ia tidak bersesuaian dengan kita dalam skuad kebangsaan. Dan ia tidak sesuai kepada para pemain untuk berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Susulan itu, skuad negara bakal mengadakan kem latihan di Kuala Lumpur pada September ini. Ini sebagai rangka persiapan mengharungi dua lagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober dan November.