Peter Cklamovski: Tanpa Tunku Ismail, Bola Sepak Malaysia Dah Lama ‘Mati’
MakanBola
Malaysia NT

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tampil mempertahankan kredibiliti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang terpalit dalam kemelut FIFA membabitkan pemain warisan Malaysia baru-baru ini.

Isu berprofil tinggi itu terus menjadi tumpuan apabila badan induk dunia tersebut menggantung beberapa pemain atas dakwaan pemalsuan dokumen keturunan, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Dalam kekecohan itu, nama Tunku Ismail turut menerima tempias memandangkan baginda merupakan figura penting yang telah menggerakkan revolusi besar dalam bola sepak negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun , Cklamovski tampil mempertahankan Tunku Ismail dan menyifatkan segala persepsi negatif terhadap baginda sebagai tidak adil serta tidak berasas.

“Berdasarkan apa yang saya dengar, ada banyak persepsi negatif terhadap Tunku Ismail sedangkan perkara itu tidak adil dan tidak berasas. Baginda seorang pemimpin yang visioner. Tanpa Tunku Ismail, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir,” katanya kepada media.

Cklamovski turut menjelaskan bahawa pelbagai kemudahan dan sokongan yang dinikmati skuad kebangsaan hari ini sebenarnya hasil usaha serta pengaruh Tunku Ismail sendiri.

“Siapa yang mendapatkan dana daripada Perdana Menteri dan sokongan kerajaan? Ia Tunku Ismail, bukan FAM. Siapa yang menyediakan penerbangan sewa khas untuk kami bergerak seperti pasukan profesional, membuat persiapan terbaik, dan pulang ke Kuala Lumpur selepas perlawanan? Semuanya diurus dan diluluskan oleh Tunku Ismail,” jelasnya.

Antara kurniaan besar Tunku Ismail kepada bola sepak negara ialah penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil. Baginda berkenan mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk menggantikan padang lama bagi memastikan venue kebangsaan itu berada pada tahap terbaik dan setanding dengan stadium antarabangsa.

Kurniaan tersebut sekali lagi membuktikan komitmen tinggi baginda dalam memastikan infrastruktur bola sepak Malaysia terus maju dan memberi keselesaan maksimum kepada pemain serta penyokong.

Beliau turut menegaskan bahawa segala isu pentadbiran dan kekeliruan yang berlaku dengan FIFA tidak melibatkan Tunku Ismail kerana ia urusan FAM sepenuhnya.

“Segala kekacauan yang berlaku dengan FIFA, kesilapan pentadbiran atau apa sahaja yang berlaku di situ, itu urusan FAM, bukan Tunku Ismail,” tegasnya lagi.

Dalam masa sama, Cklamovski tetap berpuas hati dengan fokus dan disiplin anak buahnya yang terus menunjukkan prestasi cemerlang meskipun dihimpit kemelut luar padang.

Pasukan Harimau Malaya menewaskan Laos 3-0 dalam aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane hasil jaringan Arif Aiman, Dion Cools dan Faisal Halim di separuh masa yang kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut dan terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Selepas ini, anak didik Cklamovski akan kembali beraksi di Bukit Jalil bagi perlawanan timbal balik menentang Laos dalam misi mengekalkan rentak kemenangan serta membuktikan Harimau Malaya kekal utuh walau dilanda badai.