Peter Cklamovski Tetap Hargai Sumbangan 4 Pemain Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Meskipun tidak terpilih dalam skuad hari perlawanan menentang Nepal, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tetap menghargai sumbangan empat pemain.

Empat pemain yang dimaksudkan ialah Aliff Izwan Yuslan, Azam Azmi Murad, Luqman Hakim Shamsudin dan Ryan Lambert.

Cklamovski mengakui terpaksa menyisihkan nama empat pemain tersebut kerana beliau hanya boleh menamakan 23 pemain untuk skuad hari perlawanan.

Meskipun begitu, bekas jurulatih FC Tokyo itu tetap menghargai komitmen dan sumbangan mereka kepada Harimau Malaya.

“Ianya sukar, ada had untuk jumlah pemain yang boleh dibawa untuk skuad pada hari perlawanan. Saya katakan sebelum perlawanan, mereka menyumbang kepada prestasi pasukan dan komited terhadap pasukan setiap hari.

“Saya mahu membawa mereka ke dalam skuad hari perlawanan. Tetapi itulah peraturan dan format, malangnya, mereka tersisih,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Walaupun nama mereka tidak terpilih dalam skuad kali ini, Cklamovski tidak melihat peluang mereka sudah tertutup.

Ini kerana pada hemat jurulatih Australia itu, empat pemain ini memberi lebih banyak pilihan kepada beliau untuk membentuk skuad yang lebih mantap selepas ini.

“Mereka membuatkan saya kagum dan mereka membentuk keserasian dengan pasukan,” ujarnya.

“Dan kita jumpa pemain yang kita boleh bawa masuk ke dalam skuad dan tambah lebih banyak pilihan untuk skuad. Dalam skuad kebangsaan, perebutan tempat (untuk kesebelasan utama) sangat penting.”

Malaysia menutup tahun 2025 dengan kemenangan apabila menewaskan Nepal 1-0. Faisal Halim muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada separuh masa kedua.

Keputusan ini menyaksikan Harimau Malaya terus mengetuai Kumpulan F dengan 15 mata.