Peter Cklamovski: Tiada Aksi Mudah Dalam Bola Sepak Antarabangsa
MakanBola
Malaysia NT

Jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski mengakui pasukannya dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan ke atas Singapura.

The Lions memberi tentangan hebat kepada Harimau Malaya dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selepas mendahului menerusi Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo, kem negara sedikit cemas apabila Ilhan Fandi menyumbat gol buat Singapura.

Pada akhirnya, kerja keras Harimau Malaya memastikan Cklamovski mengekalkan rekod kemenangan 100% bersama pasukan itu.

Atas sebab itu, bekas jurulatih FC Tokyo itu mengingatkan penyokong bahawa tiada aksi mudah dalam bola sepak antarabangsa.

Pada masa sama, Cklamovski turut berpuas hati dengan kesungguhan anak buahnya bagi memastikan Ekor Harimau Malaya pulang ceria.

“Kita tidak menjangkakan aksi mudah dalam bola sepak antarabangsa. Ia tidak wujud dalam bola sepak antarabangsa. Jadi, pemain-pemain kena bekerja keras.

“Terdapat tempoh dalam permainan di mana mereka bekerja keras dari segi pertahanan. Kita mendapat sedikit rentak ketika menyerang dan anda lihat bila bola berada di kawasan yang tepat, dengan larian yang kita lakukan, sukar untuk dihalang,” katanya selepas perlawanan.

Fokus Cklamovski kini beralih kepada aksi menentang pasukan Asia Barat, Palestin pada 8 September ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Skuad negara bakal turun tanpa dua orang besi, Dion Cools dan Facundo Garces. Ini kerana Cools dan Garces masing-masing akan bertolak kembali ke Jepun dan Sepanyol untuk persiapan aksi liga mereka.