Syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, Petronas tampil memberi penjelasan tentang kerjasama syarikat itu bersama kelab Serie A, Juventus.
Sebelum ini, Petronas menerusi anak syarikatnya, Petronas Lubricants International (PLI) mengadakan kerjasama dengan kelab gergasi Itali itu.
Kerjasama ini menyaksikan Petronas Lubricants International Skybox dilancarkan di Stadium Juventus. Ruang tersebut memberi peluang kepada penyokong merasai pengalaman berbeza di stadium dengan perspektif 360 darjah.
Susulan itu, PLI memaklumkan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua entiti itu bukan bersifat penajaan.
Sebaliknya, ini merupakan inisiatif unik PLI untuk berhubung dengan pengedar dan pelanggan dari Eropah terutama di Itali.
“Inisiatif ini diketuai Petronas Lubricants Italy sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk berhubung dengan pelanggan dan pengedar di pasaran Eropah dan bukan berbentuk tajaan kepada kelab.
“Akses kepada kawasan terpilih dalam Stadium Allianz bertujuan sebagai platform strategik untuk aktiviti pemasaran dan promosi pelbagai produk PLI untuk memperkukuh jenama kita di Eropah,” kata PLI dalam satu kenyataan.
PLI turut menegaskan sebarang inisiatif yang dibuat mampu memberi nilai tambah kepada syarikat dan menyumbang kepada pertumbuhan positif syarikat.