Indonesia membuka kempen Piala Dunia B-17 dengan langkah kiri selepas tewas kepada Zambia dalam aksi pertama kumpulan H pada tengah malam Selasa.
Saingan Piala Dunia B-17 2025 membuka tirai dengan wakil tunggal Asia Tenggara, Indonesia diundi di dalam kumpulan H bersama Brazil, Honduras dan Zambia yang menjadi lawan pertama.
Dua pemain yang berkelana di Australia, Matthew Baker dan Eizar Tanjung jadi sandaran kesebelasan utama Indonesia B-17 tatkala barisan skuad Zambia pula diketuai oleh Jonathan Kalimina.
Seawal minit kedua aksi, Mapalo Simute berjaya meletakkan skuad muda Zambia ini di depan sebelum gol pemain sayap tersebut dibatalkan oleh Video Support Review (VAR) gara-gara ofsaid.
Seakan tersentak, Indonesia merangka serangan dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi penyudah Zahaby Gholy yang melepaskan percubaan dari dalam kotak penalti Zambia B-17.
Segalanya tampak tak menjadi buat pasukan muda Indonesia ini apabila dibolosi dua gol dalam tempoh dua minit menerusi jaringan Abel Salim Nyirongo pada minit ke-35 dan 37 untuk Zambia di hadapan 2-1.
Gawang Indonesia B-17 yang dikemudi oleh Dafa Al Gasemi tertewas untuk kali ke-3 apabila Lukonde Mwale menampan hantaran Kelvin Mulenga ketika aksi babak pertama berbaki 4 minit.
Aksi di padang 7 Aspire Zone berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Zambia B-17.