Piala Dunia Kelab: Chelsea Ke Final, Tundukkan Fluminense
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea melangkah ke final Piala Dunia Kelab dengan penuh bergaya apabila tidak berdepan masalah menewaskan wakil Brazil, Fluminense.

Perlawanan separuh akhir ini menjadi tumpuan hangat para peminat bagi menyaksikan pasukan pertama ke final. Aksi ini turut menemukan kembali orang besi veteran, Thiago Silva dengan The Blues.

Joao Pedro mengetuai jentera serangan Chelsea menggantikan Liam Delap yang perlu menjalani penggantungan. Penyerang veteran, German Cano menjadi sandaran gol Tricolor.

Separuh masa pertama menyaksikan Fluminense banyak menguasai bola. Situasi ini memaksa Chelsea terpaksa bekerja keras untuk menguji benteng lawan diketuai Silva.

Penyokong Chelsea kemudiannya bersorak apabila Pedro meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-18. Bekas penyerang Brighton itu membuat satu percubaan lencong tepat ke penjuru atas gol.

Gol tersebut menyuntik keyakinan kepada The Blues untuk mengasak Fluminense yang dibimbing Renato Portaluppi. Malo Gusto hampir menggandakan kelebihan Chelsea tiga minit selepas itu tetapi tandukannya berjaya ditangkap Fabio.

Chelsea nyaris dibolosi pada minit ke-26 menerusi Hercules. Hercules menyangka percubaannya sudah menerjah jaring tetapi ia berjaya dikeluarkan oleh Marc Cucurella.

Fluminense menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-36. Ini selepas pengadil menyangka bola terkena tangan Trevoh Chalobah.

Walau bagaimanapun, anak buah Portaluppi hampa apabila VAR memaklumkan bola tidak terkena tangan graduan akademi The Blues itu. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Tricolor memasukkan Everaldo dan Keno dengan tujuan memperkemaskan semula rentak permainan mereka.

Malangnya, hasrat mereka terbantut apabila Pedro merobek gawang buat kali kedua pada minit ke-56. Fabio tidak berupaya menepis percubaan deras penyerang berusia 23 tahun itu.

Fluminense hampir dibolosi buat kali ketiga sembilan minit selepas itu. Silva bertindak pantas mengeluarkan bola rembatan Christopher Nkunku sebelum ia melintasi garisan gol.

Penyerang gantian, Nicholas Jackson hampir menyumbat gol ketiga pada minit ke-80. Beliau memilih untuk merembat ke arah gol tetapi percubaannya hanya terkena bahagian tepi gawang.

Chelsea terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. The Blues kini menunggu pemenang antara Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai lawan di pentas final.

Sofascore memilih Pedro sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2. Beliau mengatasi Cucurella yang meraih 8.0 mata.