Manchester United terus diselubungi prestasi tidak menentu untuk musim 2025/26 apabila disingkirkan kelab Liga Dua (divisyen empat Inggeris), Grimsby Town dalam saingan Piala EFL.
United melihat aksi ini sebagai peluang mencipta kemenangan pertama musim ini. Ini juga dilihat tonik terbaik buat anak buah Ruben Amorim untuk bangkit selepas diikat Fulham 1-1 di Craven Cottage.
Penyerang baharu The Red Devils, Benjamin Sesko diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama. Pemain baharu The Mariners berdarah Thailand-Inggeris, Jude Soonsup-Bell berada di bangku simpanan.
United berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Sesko, Matheus Cunha dan Amad Diallo tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, tuan rumah yang dibimbing David Artell itu mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-22 menerusi Charlie Vernam.
Lapan minit kemudian, penyokong Grimsby makin ceria apabila Tyrell Warren menggandakan kelebihan pasukan itu. Kegagalan Andre Onana menyekat hantaran Vernam pantas ditolak Warren ke dalam gol.
United cuba mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Amorim segera membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Bruno Fernandes, Bryan Mbeumo dan Mathijs de Ligt.
Kemasukan trio tersebut membantu The Red Devils lebih garang pada separuh masa kedua. United terpaksa menunggu sehingga minit ke-76 untuk mengurangkan defisit gol menerusi Mbeumo.
Kem The Red Devils kembali ceria apabila orang besi mereka, Harry Maguire memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada minit ke-89. Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang. Mbeumo bernasib malang apabila penaltinya terkena palang gol.
Itu sudah cukup buat The Mariners mara ke pusingan ketiga Piala EFL. United pula kini mengalihkan fokus kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Christy Pym dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.3. Ini disebabkan kecemerlangan Pym menafikan jentera serangan United.
The Red Devils berharap dapat bangkit apabila melayan kunjungan Burnley pada 30 Ogos ini. Grimsby pula akan melayan kunjungan Bristol Rovers untuk aksi terbaru Liga Dua pada hari sama.