Piala FA: Brunei DPMM Lebur Cabaran Kuching City
MakanBola
DPMM FC

Brunei DPMM FC berjuang habis-habisan sebelum menewaskan Kuching City FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.

DPMM berharap dapat bangkit di Stadium Hassanal Bolkiah selepas tewas 3-0 kepada Selangor FC. Kuching City pula mahu meneruskan rentak cemerlang selepas membelasah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 4-0.

Ramadhan Saifullah, Ronald Ngah Wanja dan Joao Pedro terus menjadi sandaran gol The Cats. Syafiq Ahmad dan Ramadhan Sananta mengetuai jentera serangan DPMM.

Gawang Kuching City yang dikawal Haziq Nadzli bocor seawal minit kelima menerusi kapten DPMM, Azwan Ali Rahman.

Hantaran pantas Ramadhan gagal disekat dua bek tengah The Cats, Rodney Celvin dan kapten, James Okwuosa. Ini memudahkan Azwan menyudahkan bola melepasi kawalan Haziq.

Tersentak, Kuching City kembali mengatur rentak untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Wanja menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Pedro pantas melarikan bola yang dihantar bekas pemain Terengganu FC, Petrus Shitembi. Hantaran beliau mudah ditolak Wanja ke dalam gawang DPMM yang kosong.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan menggandakan serangan untuk memburu gol tambahan.

The Cats mendahului pada minit ke-47 menerusi Okwuosa. Kegagalan pertahanan DPMM mengeluarkan bola tandukan Wanja pantas ditolak bekas orang besi PDRM FC itu ke arah gol.

Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama seminit. Miguel Oliveira kembali menceriakan kem DPMM dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-48.

DPMM memasukkan penyerang baharu mereka dari Australia, Jordan Murray sebagai pemain gantian untuk menambah sengat jentera serangan.

Bekas penyerang Jamshedpur itu membuat impak segera dengan meletakkan DPMM di hadapan pada minit ke-79. Kelalaian Okwuosa dihukum Murray sebelum beliau menewaskan Haziq.

Kuching City kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan. Malangnya, sepakan penalti Gabriel Nistelrooy berjaya dinafikan penjaga gol DPMM, Kristijan Naumovski.

Kecekapan bekas penjaga gol FC Shkupi itu memastikan DPMM memiliki kelebihan satu gol untuk aksi timbal balik pada 14 September.

Selepas ini, DPMM akan melayan kunjungan Terengganu FC untuk aksi liga seterusnya pada 22 Ogos. Kuching City pula melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuching pada 24 Ogos.