Pemain sayap Kuching City FC, Danial Asri memiliki sasaran tersendiri menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA.
Bekas pemain Selangor FC itu terlepas beberapa peluang menjaringkan gol ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama di Kuching beberapa minggu lalu.
Atas sebab itu, Danial berharap sekiranya mendapat peluang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), beliau ingin menyumbat sekurang-kurangnya satu gol.
“Dalam perlawanan lepas, ada dua atau tiga peluang yang saya buat (untuk Kuching City),” katanya kepada Nadi Arena.
“Jadi, dekat JDT kalau pasukan bermain dengan baik, Insya Allah kalau ada rezeki saya nak menjaringkan satu gol.”
Selepas menyertai Kuching City musim ini, Danial mula menunjukkan prestasi cemerlang. Beliau sudah merekodkan enam gol dan satu bantuan gol dalam 11 penampilan semua kejohanan musim ini.
The Cats berharap dapat mengatasi kelebihan agregat 2-1 yang dimiliki Harimau Selatan untuk aksi timbal balik pada 30 November ini.