Imigresen berjaya menumpaskan Terengganu dengan keputusan 2-1 dalam aksi perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA pada Ahad di halaman sendiri.
Skuad Terengganu membariskan Syed Nasrulhaq di bahagian penjaga gol dan Ubaidullah Shamsul sebagai pertahanan manakala Careca menggalas lilitan kapten pada aksi petang ini.
Pasukan tuan rumah, Imigresen menurunkan Zarif Irfan di benteng penjaga gol dan Rizal Ghazali sebagai kapten pasukan manakala Joao Pedro mengemudi jentera serangan.
Perlawanan dimulai dengan begitu laju oleh pasukan pelawat yang berjaya melancarkan beberapa percubaan berbahaya namun Zarif Irfan berjaya menepikan cabaran tersebut.
Imigresen turut melakukan beberapa percubaan ke gawang skuad Penyu tetapi disiplin skuad tersebut dalam kawasan pertahanan harus diberi pujian.
Memasuki minit ke 40′ jaringan pada petang ini masih belum mampu diterjemahkan oleh kedua-dua pasukan bagi membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA ini.
Menghampiri tamat masa separuh masa pertama skuad tuan rumah berjaya melancarkan serangan sehingga mendapatkan sepakan percuma namun percubaan tersebut gagal menerjah gawang Terengganu.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Keluar dari bilik persalinan, skuad Terengganu terus melancarkan serangan berbahaya sehingga berjaya menjaringkan gol pada minit ke 50′ oleh peledak berbisa, Yann Mabella.
Skuad Imigresen tidak menunggu lama untuk mengikat kembali kedudukan apabila Rafael Iserhard berjaya memecahkan jaring gawang skuad Penyu pada minit ke 53′.
Selepas kedudukan terikat dengan keputusan 1-1 kedua-dua pasukan kelihatan bermain secara agresif bagi mencari tambahan jaringan untuk dibawa ketika aksi kedua perlawanan pusingan 16 Piala FA.
Pada minit ke 64′ skuad Terengganu membuat pertukaran dengan mengeluarkan Engku Nur Shakir dan Baqiuddin Shamsudin manakala memasukkan Junior Sam dan Akhyar Rashid.
Selain itu, skuad Imigresen turut melakukan pertukaran dengan memasukkan Fayadh Zulkifli dan Fadzrul Danel manakala mengeluarkan Mior Dani dan Nur Azfar.
Fayadh berjaya menjaringkan gol sejurus dimasukkan namun jaringan tersebut dibatalkan kerana bola terlebih dahulu menyentuh tangan pemain skuad Imigresen tersebut.
Memasuki minit ke 90′ skuad Imigresen berjaya memecahkan gawang skuad Penyu buat kali kedua oleh Joao Pedro bagi memastikan kemenangan dan bekalan satu gol bagi aksi kedua pusingan 16 Piala FA musim 2025-2026.
Perlawanan tamat dengan keputusan 2-1 berpihak kepada pasukan tuan rumah untuk membawa bekalan satu jaringan bagi aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.