Piala FA: JDT Cemas Sebelum Singkirkan UM-Damansara
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT berjaya menumpaskan pasukan UM-Damansara dalam perlawanan kedua pusingan 16 dengan keputusan 5-3 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Skuad Harimau Selatan menurunkan Christian Abad di posisi penjaga gol dan Shahrul Saad menggalas lilitan kapten manakala Romel Morales mengetuai jentera serangan.

Sementara itu, UM-Damansara membariskan Haziq Fitri di benteng terakhir dan Shafizi Iqmal sebagai ayam tambatan skuad tersebut malam ini.

Pasukan tuan rumah, JDT bermula garang dengan berjaya membuka akaun jaringan seawal 3 minit aksi menerusi penyerang berbisa, Romel Morales.

Pemain sayap lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo menambah derita skuad UM-Damansara pada minit ke 8′ bagi memastikan Harimau Selatan berada di hadapan dengan selesa.

Selepas itu, Heberty turut mencatat nama sebagai penjaring seawal 15 minit aksi sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 8 defisit jaringan termasuk gol perlawanan pertama pusingan 16.

Memasuki minit ke 30′ JDT masih mengekalkan momentum dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang UM-Damansara.

UM-Damansara kian buntu mencari gol pertama skuad tersebut apabila pemain-pemain JDT semakin meningkatkan intensiti permainan meskipun sudah berada di hadapan dengan 8 gol.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT.

Bersambung babak kedua perlawanan, JDT tidak mengendurkan asakan walaupun sudah berada di hadapan dengan jumlah jaringan yang besar.

UM-Damansara United berjaya mendapatkan jaringan sulung aksi dengan gol cantik oleh pemain bernombor 57, Thankgod Michael.

Selepas itu, UM-Damansara menambah jaringan kedua selang 2 minit menerusi Anuar Ceesay hasil kesilapan pemain JDT di kawasan kotak penalti.

JDT yang tersentak dengan 2 gol pantas pasukan UM-Damansara turut menambah gol pada minit ke 70′ menerusi penyerang kebangsaan, Romel Morales.

Anuar Ceesay meledak gol kedua beliau bagi aksi ini pada minit ke 73′ selepas berjaya mengatasi pertahanan JDT, Ibrahim Manusi.

Romel Morales tidak berjaya mendapatkan hatrik menerusi sepakan penalti namun beliau berjaya meledak gol pada minit akhir perlawanan sekaligus menutup malam gemilang skuad Harimau Selatan.

Perlawanan tamat dengan keputusan 5-3 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT sekaligus melayakkan skuad Harimau Selatan ke suku akhir Piala FA musim ini dengan agregat 10-3.