Piala FA: JDT Tewaskan 10 Pemain Penang
MakanBola
Johor Southern Tigers

Keadaan padang Stadium Bandaraya yang basah bukan halangan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan ke atas Penang FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

JDT memburu tonik semangat sebelum aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang wakil China, Chengdu Rongcheng.

Penang pula mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan harapan dapat mengejutkan JDT yang berstatus juara bertahan.

Matt Davies membuat penampilan pertama bersama JDT musim ini. Tchetche Kipre menjadi sandaran gol jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT meraih gol pendahuluan seawal minit keenam menerusi Oscar Arribas.

Meskipun percubaan Jonathan Silva cuba disekat Khairulazhan Khalid, Arribas memastikan bola muntah yang terlepas ditolak masuk ke dalam gawang.

Kem Sang Harimau Kumbang kembali ceria 29 minit selepas itu. Giliran pemain pertahanan kebangsaan, Adib Ra’op pula menyumbat gol penyamaan buat tuan rumah.

Pada awalnya, percubaan awal Adib dinafikan penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed. Bek kiri berusia 25 tahun itu segera membuat percubaan susulan yang menewaskan Syihan.

Penang kemudiannya ditimpa malang apabila beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dibuat Ahmad Irfan Mohd Noor ke atas Romel Morales.

Situasi ini mendorong pengadil perlawanan, Faizudin Ismail melayangkan kad merah kepada bek kanan berusia 24 tahun itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, JDT membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez.

Kemasukan dua pemain itu membantu Harimau Selatan meningkatkan tekanan ke atas kubu Penang untuk memburu gol kedua perlawanan.

Ager Aketxe kembali meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-55. Sepakan percuma deras beliau menerjah jaring Penang meskipun cuba dihalang Khairulazhan.

Keadaan padang yang semakin lecak menyukarkan kedua-dua pasukan menunjukkan aksi baik di Stadium Bandaraya. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan JDT memiliki kelebihan satu gol menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 28 Oktober ini.

Selepas ini, Harimau Selatan akan menentang Chengdu Rongcheng pada 21 Oktober untuk aksi ACLE. Penang akan bertandang ke Kuching untuk aksi liga menentang Kuching City FC pada 25 Oktober.