Ketua jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel tidak berpuas hati dengan keputusan melibatkan layangan kad merah serta pembatalan gol ketika aksi Piala FA bertemu Sabah.
Selangor dan Sabah turun dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ yang menyaksikan kemenangan memihak Sang Badak menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.
Detik kemenangan mendebarkan diraih oleh pasukan Sabah selepas berjuang bermatian-matian sebelum menyingkirkan Selangor dan berjaya melangkah ke final Piala FA setelah 27 tahun.
Walau bagaimanapun, terdapat insiden yang menjadi bualan ramai selepas gol yang dijaringkan oleh Selangor dibatalkan atas dakwaan ofsaid, kad merah untuk Mamadou Diarra dan sepakan penalti lewat buat Sabah.
Menurut Christophe Gamel, beliau tidak melihat sebarang sebab bagi membatalkan jaringan Chrigor Moraes setelah penjaga garisan mendakwa salah seorang pemain Selangor berada dalam keadaan ofsaid.
“Kami menjaringkan satu gol yang sememangnya gol yang sah. Saya tak nampak apa-apa alasan untuk menafikannya,” ulas Christophe Gamel selepas tamat aksi.
Tambah beliau lagi, kad merah kepada Mamadou Diarra pada minit ke-88 jelas sekali ‘membunuh’ permainan Selangor dan ditambah pula dengan sepakan penalti yang tidak sepatutnya diberikan oleh pengadil.
Ya, jelas sekali (kad merah Mamadou Diarra memberi kesan) bahkan penalti itu langsung bukan penalti.”
“Tidak mengapa, itu sebahagian daripada permainan. Dalam beberapa perlawanan akhir Piala Dunia pun perkara seperti ini boleh berlaku.”
“Tetapi kad merah itu, ia satu hukuman kad merah yang agak mudah.”
“Apa yang saya tak faham ialah, untuk sesetengah situasi VAR digunakan, tetapi untuk yang lain pula, VAR langsung tidak digunakan.”
Aksi 120 minit di Kelana Jaya menyaksikan keputusan terikat 5-5 secara agregat selepas kedua-dua pasukan akur seri 3-3 dengan Faisal Halim dan Chrigor Moraes muncul penjaring buat Selangor.
Manakala, Ajdin Mujagic dan Dean Ingham pula mencetak gol buat pasukan Sabah sebelum memastikan Sang Badak layak ke final Piala FA untuk berdepan juara bertahan, JDT pada 14 Disember ini.