Kuching City berjaya menundukkan skuad Brunei DPMM dengan keputusan 7-1 di aksi kedua pusingan 16 Piala FA musim ini sekaligus mara ke peringkat suku akhir secara agregat 9-4.
Skuad tuan rumah, The Cats menurunkan Haziq Nadzli di benteng terakhir dan James Okwuosa menggalas lilitan kapten manakala Ronald Ngah Wanja mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, pasukan pelawat, Brunei DPMM membariskan Kristijan Naumovski di bahagian penjaga gol dan Ramadhan Sananta sebagai ayam tambatan skuad tersebut.
Kuching City tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi Ronald Ngah Wanja seawal minit ke 2′ aksi.
Berselang 11 minit, Danial Asri menambah jaringan perlawanan pada minit ke 13′ sekaligus memastikan skuad tersebut mendahului perlawanan dengan dua jaringan.
Tersentak dengan jaringan tersebut skuad Brunei DPMM dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Kuching City namun ketangkasan penjaga gol pasukan tersebut, Haziq Nadzli harus diberi pujian.
Memasuki waktu kecederaan separuh masa pertama, Ronald Ngah Wanja berjaya menambah jaringan untuk memberikan keselesaan kepada pasukan Kuching City dengan 3 gol di hadapan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad tuan rumah, Kuching City tidak mengendurkan asakan meskipun sudah berada di hadapan dengan 3 jaringan.
Ronald Ngah Wanja berjaya mencatat hatrik perlawanan dengan sempurna pada minit ke 54′.
Selepas itu, skuad Brunei DPMM berjaya mendapat jaringan pertama hasil ledakan Ramadhan Sananta pada minit ke 58′ bagi mengurangkan defisit jaringan.
Kuching City terus menerus merobek gawang pasukan Brunei DPMM oleh Ramadan Saifullah pada minit ke 60′.
Selain itu, Danial Asri menjaringkan gol kedua beliau pada malam ini pada minit ke 77′ untuk mematikan langkah skuad pelawat, Brunei DPMM.
Joao Pedro melengkapkan malam gemilang skuad Kuching City dengan menjaringkan gol ke 7 di masa kecederaan separuh masa kedua sekaligus menutup peluang pasukan Brunei DPMM.
Perlawanan tamat dengan keputusan agregat 9-4 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kuching City sekaligus memastikan skuad tersebut mara ke pentas suku akhir Piala FA musim ini.