Piala FA: Kuching City Ranapkan Impian Terengganu Ke Separuh Akhir
MakanBola
MFL

Kuching City berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini selepas menumpaskan pasukan Terengganu dengan agregat 5-3 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri Kuching, Sarawak.

Pasukan tuan rumah, Kuching City membariskan Haziq Nadzli di bahagian penjaga gol manakala Yuki Tanigawa sebagai benteng pertahanan dan Ronald Ngah Wanja mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Terengganu menurunkan Syed Nasrulhaq di benteng terakhir dan Careca sebagai ayam tambatan sambil mengetuai kesebelasan utama pasukan Penyu.

Terengganu tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan selepas Careca berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke 12′ menerusi rembatan kencang sekaligus menerjah jaring pasukan The Cats.

Kuching City kembali mengasak kubu pasukan Terengganu bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri di Stadium Negeri Kuching.

Ronald Ngah Wanja berjaya mencatatkan jaringan pada minit ke 32′ menerusi sepakan penalti selepas Alif Zakaria mengasari Jimmy Raymond di kawasan kotak penalti Terengganu.

The Cats yang mendapat tonik tambahan daripada penyokong sendiri dilihat menggandakan serangan bagi menjarakkan lagi kedudukan dengan pasukan Penyu.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.

Terengganu tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari 3 gol untuk menyamakan kedudukan pada awal babak kedua perlawanan.

Penyerang berprolifik Terengganu, Careca berjaya melepaskan satu rembatan kencang ke arah kubu pasukan Kuching City pada minit ke 63′ namun ketangkasan penjaga gol The Cats, Haziq Nadzli harus diberi pujian.

Terengganu tampak menguasai perlawanan di separuh masa kedua dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Kuching City namun segala usaha tersebut tidak membuahkan hasil.

Memasuki minit ke 85′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Kuching City dengan 3 gol di hadapan.

Careca berjaya menambah jaringan ke-2 aksi buat pasukan Terengganu pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Aksi suku akhir kedua tamat dengan keputusan secara agregat 5-3 memihak kepada pasukan tuan rumah, The Cats sekaligus melayakkan diri ke pentas separuh akhir di Stadium Negeri Kuching, Sarawak pada Selasa.

Kuching City dijangka bakal menghadapi tentangan pasukan JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA musim ini.