3 aksi pusingan awal Piala FA libatkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Sabah telah diubah ke stadium baharu.
Saingan Piala FA akan membuka tirai hujung minggu ini yang menyaksikan pasukan-pasukan pilihan seperti JDT, Selangor dan Sabah bakal bertemu kelab dari Liga A1 Semi Pro.
JDT yang baru menjulang Piala Sumbangsih diundi bertemu UM Damansara United sementara Selangor serta Malaysian University akan berentap dalam perlawanan pusingan awal nanti.
Pengumuman terdahulu memaklumkan bahawa JDT bakal bertandang ke gelanggang UM Damansara United terlebih dahulu dalam aksi timbal balik pertama sebelum beraksi di laman sendiri.
Begitu juga dengan Selangor yang dijadualkan akan turun ke Stadium USIM di Nilai untuk menentang Malaysian University sebelum pulang ke Kelana Jaya bagi perlawanan kedua nanti.
Walau bagaimanapun, makluman terkini pada Selasa oleh MFL menyaksikan venue bagi aksi pertama membabitkan JDT dan Selangor kini diubah ke gelanggang asal mereka.
Perubahan ini dimohon pasukan UM Damansara United dan Malaysian University selaku tuan rumah perlawanan selepas venue mereka tak sesuai dan tidak menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh MFL.
Manakala, pasukan Sabah yang diundi bertemu Bunga Raya FC pula akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi bagi aksi timbal balik pertama pusingan awal Piala FA.