Piala FA: Penang Tundukkan Melaka
MakanBola
PENANG FC

Penang berjaya menundukkan skuad Melaka pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan pelawat di Stadium Hang Jebat Melaka pada Ahad.

Kedua-dua kelab tersebut baru bertemu dalam aksi Liga Super pada 4 hari lepas dengan menyaksikan keputusan terikat 1-1 ketika aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka

Melaka membariskan Jun Badelic di posisi penjaga gol dan Irfan Zakaria menggalas lilitan kapten pasukan manakala Shahrel Fikri memikul tanggungjawab sebagai ayam tambatan skuad tersebut pada aksi malam ini.

Sementara itu, Penang menurunkan bekas penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Khairulazhan Khalid dan Stefano Brundo selaku ketua pasukan skuad Harimau Kumbang bagi perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA musim 2025-2026.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan melancarkan serangan berbahaya pada awal minit permainan bagi memperoleh gol pendahuluan.

Melaka tampak menguasai separuh masa pertama dengan melakukan beberapa percubaan dan memiliki kelebihan bermain di padang sendiri dalam dua aksi terakhir ketika bertemu skuad Penang.

Penang turut melakukan beberapa percubaan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol Melaka, Jun Badelic harus diberi pujian.

Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan aksi yang begitu baik yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi pasukan Melaka dan Penang.

Keluar dari bilik persalinan, Penang kian mendapat rentak apabila pemain-pemain skuad tersebut terus melancarkan serangan berbahaya.

Usaha tersebut akhirnya berhasil apabila pemain Penang bernombor 7, Wenzel Halls berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan seawal 5 minit separuh masa kedua.

Skuad Melaka tampak tertekan dengan jaringan tersebut terus mengasak kubu Penang namun segala percubaan pasukan tuan rumah gagal menerjah gawang Harimau Kumbang.

Penang turut melakukan beberapa percubaan bagi menambah bekalan untuk di bawa pulang ke Stadium Bandaraya Penang.

Memasuki minit ke 80′ walaupun skuad Penang berdepan tekanan bermain di stadium lawan namun keputusan masih memihak pasukan Harimau Kumbang.

Pasukan pelawat berjaya menambah jaringan kedua sekali lagi menerusi Wenzel Halls bagi menutup peluang skuad Melaka memenangi aksi malam ini.

Perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan pelawat, Penang bagi membawa bekalan dua jaringan untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA musim 2025-2026 di Stadium Bandaraya Penang.