Piala FA: Sabah Bangkit ‘Rantai’ Selangor
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC kecewa apabila diikat Sabah FC 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA.

Selangor memburu kemenangan sebagai tonik semangat selepas tersingkir dalam saingan ACL2. Perjuangan Selangor dalam ACL2 musnah apabila pasukan itu tewas 3-2 kepada Persib Bandung.

Ajdin Mujagic terus menjadi sandaran gol pengendali Sabah, Jean-Paul de Marigny. Faisal Halim kembali mengetuai cabaran Merah Kuning.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor menyangka telah membuka tirai jaringan menerusi Alvin Fortes pada minit kelapan.

Walau bagaimanapun, bekas pemain Ratchaburi itu hampa apabila golnya dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Sebaliknya, Sabah yang meraih gol pendahuluan menerusi Mujagic pada minit ke-13. Meskipun berjaya menepis percubaan awal penyerang Bosnia-Herzegovina itu, Sikh Izhan Nazrel gagal menyekat percubaan kali kedua Mujagic.

Kem Selangor menyangka mereka telah meraih gol penyamaan pada minit ke-18 menerusi Fortes. Fortes sekali lagi hampa kerana golnya dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Selangor berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Merah Kuning berusaha menembusi gawang Sabah yang dikawal Damien Lim tetapi tidak berhasil.

Situasi ini mendorong pengendali interim Selangor, Christophe Gamel memasukkan Fazly Mazlan dan Willian Lira untuk mengubah momentum perlawanan.

Kemasukan Fazly membuahkan hasil apabila menciptat gol penyamaan pada minit ke-64. Bola hantaran beliau terkena peha Dane Ingham sebelum menerjah jaring.

Gol tersebut memberi keyakinan Selangor untuk memburu gol kemenangan di Stadium Likas. Hasilnya, Nooa Laine menanduk hantaran Faisal untuk gol kedua Selangor pada minit ke-80.

Tatkala Selangor menyangka kemenangan dalam tangan, Mujagic memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada minit ke-90. Justeru, aksi timbal balik pada 30 November dilihat penentu siapa bakal mara ke final.

Selepas ini, Merah Kuning akan menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 22 November. Sabah pula akan menentang Penang FC pada 23 November.