Sabah berjaya menundukkan pasukan Kelantan TRW dengan keputusan 1-2 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Pasukan tuan rumah, Kelantan TRW menurunkan Damyanov Damyan di bahagian penjaga gol dan Azam Azih menggalas lilitan kapten manakala Hein Htet Aung mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Sabah membariskan Damien Lim di benteng terakhir dan Fergus Tierney menjadi ayam tambatan pasukan tersebut bagi aksi ini.
Sabah berjaya membuka akaun jaringan perlawanan seawal minit ke 11′ menerusi Jafri Chew hasil ledakan berbisa di hadapan gawang pasukan Kelantan TRW.
Kelantan TRW tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke 16′ menerusi rembatan kencang oleh Abdul Sesay selepas menerima hantaran cantik dari Albert Kang.
Abdul Sesay berjaya menambah jaringan pada minit ke 30′ namun gol tersebut dibatalkan kerana kedudukan ofsaid pemain tersebut.
Sabah turut melakukan beberapa serangan berbahaya bagi mencari gol kedua tetapi ketangkasan pertahanan Kelantan TRW harus diberi pujian.
Ajdin Mujagic menambah derita pasukan Kelantan TRW dengan meledak gol kedua The Rhinos selepas menerima umpanan mudah di hadapan gawang pasukan Sabah pada minit ke 43′.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Sabah.
Bersambung babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah, Kelantan TRW tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan sekaligus menceriakan ribuan penyokong sendiri.
Sabah yang berada di hadapan dilihat masih kukuh mempertahankan kubu gawang meskipun ditekan hebat oleh pasukan tuan rumah.
Memasuki minit ke 70′ Sabah masih mendahului aksi ini walaupun bertemu di tempat lawan.
Kelantan TRW melajukan tempo aksi dalam 10 minit terakhir perlawanan bagi mengikat kedudukan sebelum bertemu semula di Sabah.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Sabah hasil jaringan Jafri Chew dan Ajdin Mujagic.
Aksi suku akhir kedua Piala FA di antara Sabah dan Kelantan bakal berlangsung pada 29 Oktober depan.