Jurulatih UM Damansara United, Ridzuan Abu Shah akur apabila bakal bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Piala FA sekali lagi.
Pada Isnin, telah berlangsungnya undian pusingan 16 Piala FA yang melibatkan 13 pasukan dari Liga Super beserta 3 lagi kelab yang beraksi di saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Tumpuan peminat terarah kepada juara bertahan, JDT yang bakal beraksi selaku pasukan pilihan utama dan telah diundi menentang kelab Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United.
Menariknya, ketua jurulatih UM Damansara United ketika ini adalah Ridzuan Abu Shah yang pernah membimbing kelab Malaysian University dan bertemu JDT dalam saingan Piala FA musim lalu.
Aksi suku akhir Piala FA itu menyaksikan Malaysian University terpaksa akur dengan kehebatan JDT apabila skuad Harimau Selatan tersebut menang besar dengan keputusan agregat 13-0.
Kini, Ridzuan Abu Shah bakal kembali bertemu JDT dengan kelab baharu beliau iaitu UM Damansara United di pusingan pertama Piala FA walaupun sedar dengan cabaran getir yang menanti.
Malah, beliau sempat berdoa sebelum undian supaya tidak akan bertemu JDT selepas mengambil kira keputusan 0-13 yang dicatatkan oleh pasukan lamanya namun sebaliknya berlaku.
”Sebenarnya saya cuba berdoa juga bagi mengelak bertemu JDT setelah apa yang saya lalui ketika musim lepas bersama MUFT,” ujarnya kepada MakanBola secara berseloroh.
”Tapi mungkin takdir saya bersama JDT atau pasukan terkuat di Malaysia itu (bertemu) sekali lagi.”
Oleh itu, Ridzuan Abu Shah berharap agar para pemain UM Damansara mampu memberikan saingan yang hebat meski sedar dengan status JDT yang merupakan kuasa bola sepak tanah air.
”Saya harap dapat beri tentangan atau persembahan terbaik walaupun kita tahu juara bertahan itu (JDT) agak sukar untuk ditandingi buat masa ini.”
UM Damansara yang diperkuat dengan kehadiran beberapa pemain ternama seperti Shivan Pillay, Khair Jones dan Hariz Mansor bakal membuka tirai Liga A1 berdepan Perak hujung minggu ini.
Saingan Piala FA dijadualkan bermula pada 16 Ogos hadapan dengan maklumat lebih terperinci berkenaan aksi antara UM Damansara United vs JDT akan dimaklumkan oleh Malaysian Football League.