Piala FA: Selangor Bawa Bekalan Selesa Dari Laman Negeri Sembilan
MakanBola
Nursaifulsyah/MakanBola

Selangor FC meraih kemenangan berharga 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Negeri Sembilan ingin bangkit selepas tewas 2-1 di tangan Penang FC dalam Liga Super baru-baru ini. Selangor pula berharap dapat menebus kekalahan di tangan lawan sama dalam liga pada Ogos lalu.

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim terus menerajui jentera serangan Selangor. Bekas penyerang skuad Malaysia B-23, Luqman Hakim Shamsudin mengetuai jentera serangan Negeri Sembilan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan pendahuluan di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

Chrigor Moraes hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit keempat. Walau bagaimanapun, bola penyerang Brazil itu berjaya dirampas penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.

Kapten Sang Rusa, Takumi Sasaki menguji kecekapan penjaga gol Merah Kuning, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada minit ke-30. Rembatan pemain Jepun itu tepat ke dakapan bekas penjaga gol PJ City FC itu.

Empat minit selepas itu, kem Selangor ceria apabila Faisal meletakkan pelawat di hadapan. Serangan balas pantas memudahkan pemain berusia 27 tahun itu menewaskan Azri.

Gol tersebut menyaksikan Faisal sudah menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut. Ini termasuk gol buat Harimau Malaya ketika menewaskan Laos 5-1 pada 14 Oktober lalu.

Negeri Sembilan cuba bangkit untuk memburu jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Selangor terus meningkatkan asakan untuk menggandakan kelebihan jaringan di STAR.

Kurang seminit separuh masa kedua bermula, Merah Kuning menggandakan kelebihan mereka. Chrigor menyumbat gol kelimanya dalam Piala FA dengan menewaskan Azri.

10 minit selepas itu, giliran Zach Clough pula mencetak nama sebagai penjaring. Beliau mudah menanduk hantaran Faisal meskipun dikawal dua pemain pertahanan Negeri Sembilan.

Pemain sayap kebangsaan itu menambah derita tuan rumah dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-63.

Perlawanan kemudiannya sedikit tegang apabila berlaku pertelagahan antara penyerang Sang Rusa, Joseph Esso dan pengganti Faisal, Noor Al-Rawabdeh. Kedua-duanya kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Negeri Sembilan berusaha mengurangkan defisit jaringan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Sang Rusa perlu bangkit pada 29 Oktober jika mahu mara ke separuh akhir.

Selepas ini, Selangor akan menentang Persib Bandung untuk aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 23 Oktober. Negeri Sembilan pula akan menentang PDRM FC pada 25 Oktober ini.