Selangor berpesta gol mara ke suku akhir Piala FA 2025-2026 selepas menyingkirkan Malaysian University pada Sabtu.
Kemenangan 9-0 tersebut diraih oleh Selangor berbekalkan agregat 3-1 yang dicatat pada perlawanan pertama bertemu Malaysian University dua minggu lalu bagi mara ke suku akhir Piala FA.
Katsuhito Kinoshi tampil dengan kesebelasan utama berbeza apabila Sikh Izhan diberi peranan mengemudi gawang tatkala Malaysian University pula ditunjangi oleh pemain penyerang, Zarif Nazhan.
Seawal minit ke-11 aksi, tuan rumah sudah berada di depan menerusi jaringan bek kiri Thailand, Kevin Deeromram yang menanduk masuk sepakan penjuru oleh Faisal Halim untuk 1-0 buat Selangor.
Quentin Cheng menambah kelebihan buat Selangor di minit ke-21 selepas bijan menyudahkan umpanan cantik daripada Chrigor Moraes yang menerjah gawang Malaysian University.
Sebelum rehat, Selangor memastikan kedudukan selesa 3-0 dengan jaringan tambahan daripada pemain import, Chrigor Moraes yang mudah menyambar hantaran lintang oleh Kevin Deeromram.
Pesta jaringan Selangor bermula di babak kedua ketika mana Kevin Deeromram menambah jaringan peribadi kedua sebaik aksi bermula pada minit ke-49 untuk memberikan kelebihan agregat 7-1.
Alvin Fortes dan Zach Clough masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-55 dan 69 sekaligus menjadikan skor memihak pasukan Gergasi Merah dengan keputusan semasa 6-0.
Dua lagi tambahan gol oleh Chrigor Moraes melengkapkan hatrik buat penyerang kelahiran Brazil ini pada minit ke-75 dan 80 memberi tekanan hebat buat Malaysian University.
Zikri Khalili memastikan malam gemilang buat Selangor hasil jaringan ke-9 untuk menceriakan peminat tuan rumah dan mara ke suku akhir Piala FA.
Aksi di Stadium MBPJ berakhir dengan keputusan 9-0 sekaligus menyaksikan Selangor mara hasil agregat 12-1.
Menanti Selangor di suku akhir Piala FA nanti adalah Negeri Sembilan yang menyingkirkan PDRM 5-1 dalam satu lagi aksi pusingan 16 pada Jumaat.