Terengganu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA.
Kejayaan itu dicapai dengan melakar kemenangan selesa ke atas Imigresen FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik kejohanan itu.
The Mighty Tigers berpeluang mara ke peringkat suku akhir dengan syarat mereka mempertahankan atau menambah kelebihan agregat 2-1. Peteh juga masih berpeluang dengan syarat mengatasi kelebihan agregat tersebut.
Gabriel Silva kembali dalam kesebelasan utama Terengganu selepas terpaksa berehat akibat kecederaan. Bekas penyerang Sabah FC, Joao Pedro mengetuai jentera serangan Imigresen.
Separuh masa pertama menyaksikan Peteh mula menekan benteng pelawat menerusi gandingan Akhyar Rashid, Junior Sam dan Silva.
Sam menceriakan penyokong Terengganu menerusi gol pada minit ke-18. Bola muntah yang terlepas daripada Zarif Irfan Hashimuddin pantas ditolak bekas penyerang Stallion Laguna itu ke dalam gawang.
Tersentak, Imigresen yang dibimbing Yusri Che Lah berusaha mencari gol penyamaan menerusi Pedro, Wilmar Jordan Gil dan Fayadh Zulkifli Amin.
Malangnya, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-32. Kali ini, giliran pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid mencetak nama sebagai penjaring.
Imigresen berusaha mencari satu gol untuk mengikat agregat tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Peteh semakin ghairah memburu gol dibantu dengan sorakan penyokong di SSMZA.
Akhyar sekali lagi menceriakan penyokong Terengganu dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-51. Ini menjadikan agregat 4-2 memihak kepada tuan rumah.
Pemain pertahanan Thailand, Keron Ornchaiyaphum hampir mengurangkan defisit Imigresen menerusi sepakan percuma pada minit ke-73. Malangnya, sepakan percuma beliau terkena palang.
Ini disusuli serangan pantas diketuai pemain gantian dari Perancis, Yann Mabella. Hantaran Mabella cuba disudahkan Akhyar tetapi dinafikan Zarif Irfan.
The Mighty Tigers terus berusaha mengurangkan defisit agregat tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk Terengganu mara ke suku akhir dengan agregat 4-2.
Selepas ini, Peteh akan menentang Melaka FC pada 19 September. Imigresen pula bersiap sedia melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada 20 September.