Indonesia membuka kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 dengan langkah kanan apabila membelasah Brunei 8-0 dalam aksi pertama Kumpulan A.
Indonesia berharap dapat meraih kemenangan untuk aksi pembukaan kumpulan. Ini ditambah dengan pencabar terdekat, Malaysia tewas mengejut kepada Filipina dalam satu lagi aksi kumpulan.
Pemain baharu Bali United, Jens Raven mengetuai jentera serangan Indonesia. Bazli Aminuddin mengetuai jentera serangan Brunei.
Indonesia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Raven. Beliau mudah menolak bola hantaran Rayhan Hannan yang menewaskan Khairul Norihwan.
Enam minit kemudian, Raven sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring. Brunei dilihat tiada jawapan untuk mengekang percubaan bekas pemain FC Dordrecht B-21 itu.
Brunei makin derita apabila sepakan Arkhan Fikri menerjah jaring pasukan itu pada minit ke-20. Raven menambah dua lagi gol pada minit ke-30 dan 32.
Rayyan kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring dua minit selepas itu. Raven meledakkan gol kelima menerusi penalti pada minit ke-40.
Lima gol anak jati Dordrecht itu memastikan Indonesia mendahului 7-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pengendali Indonesia, Gerald Vanenburg membuat empat pertukaran pemain.
Itu tidak menghalang anak buahnya menyumbat gol kelapan pada minit ke-62. Raven terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Brunei dengan meledakkan gol keenam peribadinya.
Indonesia terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 8-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Indonesia menerajui Kumpulan A dengan kelebihan jaringan.
Selepas ini, mereka akan menentang Filipina dalam aksi kedua kumpulan pada 18 Julai. Brunei pula akan menentang Malaysia dalam satu lagi aksi pada hari yang sama.