Piala Mandiri B-23: Malaysia ‘Baham’ Brunei
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala Mandiri B-23 ASEAN setelah membelasah Brunei pada Jumaat.

Aksi kedua peringkat kumpulan A kali ini menyaksikan skuad muda Malaysia turun dengan misi penting untuk memburu 3 mata pertama selepas kalah kepada Filipina pada perlawanan lalu.

6 pertukaran telah dilakukan oleh ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain dengan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Aysar Hadi bergandingan bersama Ubaidullah di pertahanan pasukan.

Tandukan kencang Danish Syamer seawal minit ke-2 berjaya meletakkan Malaysia B-23 ini di hadapan berpunca daripada hantaran lintang oleh Aiman Yusof untuk memberi kelebihan awal.

Selang seminit kemudian, Nazry Aiman yang beraksi sebagai pertahanan Brunei tertampan bola ke gawang sendiri setelah bek kiri negara, Shafizan Arshad menghantar bola ke dalam kotak penalti lawan.

Jaringan ke-3 Malaysia B-23 berjaya disumbat oleh pemain tengah Selangor, Haykal Danish selepas menyambut cantik lambungan Haqimi Azim sebelum melepaskan rembatan di minit ke-31.

Gerakan cantik antara Haqimi Azim serta Danish Syamer di minit ke-41 disempurnakan dengan begitu cemerlang oleh bekas penyerang KL City itu untuk memberi kelebihan buat negara.

Separuh masa pertama tamat, Brunei 0-4 Malaysia.

Kembali dari rehat, asakan berterusan dilancarkan oleh anak didik Nafuzi Zain dalam usaha untuk menambah gol tatkala Brunei B-23 turut hadir mencuba nasib bagi menguji gawang Zulhilmi Sharani.

Pemain tengah, Danish Hakimi menyudahkan gerakan cantik antara Haykal Danish dan Fergus Tierney dengan percubaan yang menewaskan Khairul Norihwan di pintu gol Brunei pada minit ke-69.

Kejutan berlaku apabila Brunei berjaya mencetak gol sulung pada minit ke-74 selepas memanfaatkan kesilapan benteng negara sebelum membuat rembatan yang ke dalam pintu gol Malaysia B-23.

Kesilapan tersebut dibalas seminit kemudian oleh penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney yang mencetak jaringan ke-6 meskipun berdepan sudut yang sukar di sebelah kiri gawang.

Haqimi Azim mencetak gol kedua peribadi yang juga jaringan ke-7 buat skuad muda negara selepas kesilapan pertahanan Brunei gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti pada minit ke-88.

Perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno berakhir dengan keputusan 7-1 memihak Malaysia B-23.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan ujian getir menentang tuan rumah, Indonesia untuk merebut tempat ke separuh akhir manakala Brunei yang sudah tersingkir akan bertemu Filipina.