Malaysia memilih jalan sukar dalam saingan Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 apabila tewas kepada Filipina pada Selasa.
Aksi pembukaan kumpulan A ini menemukan Malaysia B-23 dan Filipina dengan anak-anak buah Nafuzi Zain memasang impian bagi mengutip 3 mata dan memudahkan langkah ke separuh akhir.
Gandingan Fergus Tierney dan Aliff Izwan menjadi sandaran utama Malaysia B-23 bagi memburu jaringan tatkala pemain tengah Kaya-Iloilo, Gavin Muens ketuai kesebelasan utama Filipina.
Skuad muda negara bermula baik di awal permainan apabila Aliff Izwan memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun rembatan kencang pemain Selangor itu ditepis Nico Guimaraes di gawang.
Walau bagaimanapun, Filipina B-23 terlebih dahulu meledak gol pembukaan pada minit ke-9 menerusi Otu Banatao yang menyambar bola hantaran Javier Mariona ke dalam gawang negara.
Serangan tanpa henti lantas direncana oleh jentera serangan Harimau Muda selepas itu dengan percubaan jarak jauh oleh Haqimi Azim hanya sekadar menggegar palang gol pasukan Filipina.
Fergus Tierney berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan cantik berpunca dari tendangan sudut Haykal Danish namun jaringan itu dibatalkan atas dakwaan kekasaran oleh pemain negara.
Pada minit ke-40, kehilangan fokus oleh barisan pertahanan negara telah dihukum oleh Otu Banatao untuk menjaringkan gol kedua peribadi sekaligus menambah kelebihan buat The Young Azkals.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-2 Filipina.
Kembali dari rehat, pemain muda negara terus melancarkan serangan dengan Haykal Danish miliki peluang terbaik bagi menjaringkan gol namun keadaan padang membuatkannya terjatuh.
Fergus Tierney sekali lagi hampir menembusi gawang lawan namun percubaan susulan penyerang Sabah FC itu dihalang oleh pertahanan Filipina B-23 untuk memastikan pintu gol terus kebal.
Aksi di Stadium Gelora Bung Karno berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Filipina B-23.
Selepas ini, skuad muda Malaysia akan menentang Brunei pada Jumaat tatkala Filipina akan berdepan pasukan tuan rumah, Indonesia pada hari yang sama di sebelah malam.