Piala Mandiri B-23: Penalti Bantu Filipina Atasi Brunei
MakanBola
Philipine MNT

Filipina mara ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23 selepas bekerja keras atasi cabaran Brunei pada Isnin.

Satu lagi aksi di kumpulan A berakhir dengan kemenangan 2-0 memihak pasukan Filipina B-23 sekaligus membawa Young Azkals ke pusingan separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23.

Filipina B-23 merehatkan beberapa tonggak utama antaranya penyerang utama, Otu Banatao Bisong serta kapten pasukan, Gavin Muens manakala Nazry Aiman mengetuai skuad muda Brunei.

Gol pertama perlawanan dihasilkan menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh pemain lincah berusia 20 tahun, Javier Mariona untuk Filipina berjaya memimpin aksi pada minit ke-21.

Pelbagai siri serangan berusaha untuk diatur oleh pasukan muda Filipina ini ketika mana Brunei tampak lebih bertahan bagi mengelakkan gawang terus dibolosi seperti aksi-aksi lalu.

Di babak kedua Filipina kembali mengasak dan sekali lagi memperolehi tendangan penalti selepas tonggak Brunei, Azrin Daniel menafikan peluang gol menggunakan tangan.

Pengadil lantas melayangkan kad merah kepada pemain muda Brunei tersebut walau bagaimanapun sepakan Otu Banatao terlalu lemah dan mudah ditangkap oleh penjaga gol.

Pemain gantian, Harry Nunez melengkapkan malam penuh gemilang buat Filipina B-23 menerusi jaringan di lewat aksi untuk menghampakan pasukan Brunei di pentas ASEAN ini.

Perlawanan akhirnya tamat dengan keputusan 2-0 sekaligus meletakkan pasukan Filipina B-23 di tangga kedua kumpulan dan perlu menunggu keputusan lain untuk layak selaku naib juara terbaik.