Thailand memastikan Timor Leste tersingkir daripada saingan Piala Mandiri ASEAN B-23 dengan menewaskan pasukan itu dalam aksi kedua Kumpulan C.
Selepas terikat 4-4 dengan Myanmar dalam aksi pertama pada 16 Julai lalu, Timor Leste perlu menang ke atas Thailand jika ingin layak ke separuh akhir. Thailand turut memburu misi sama memandangkan ini aksi pertama mereka dalam Kumpulan C.
Pemain tengah Buriram United, Seksan Ratree mengetuai jentera tengah Thailand. Vabio Canavaro terus menjadi nadi kreatif Timor Leste.
Separuh masa pertama menyaksikan Timor Leste berusaha menyekat jentera serangan Thailand daripada menembusi pertahanan mereka.
Situasi ini memaksa jentera serangan Thailand diketuai penyerang Chonburi, Yotsakorn Burapha bekerja keras untuk menembusi gawang Timor Leste.
Gol yang dicari Thailand muncul pada minit ke-18 menerusi Yotsakorn. Tandukan padu penyerang berusia 20 tahun itu gagal diselamatkan penjaga gol Timor Leste, Filonito Nogueira.
22 minit kemudian, giliran Thanawut Phocai pula mencetak nama sebagai penjaring. Ini memastikan Thailand mendahului 2-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Timor Leste berusaha memperkemaskan rentak agar mereka tidak dibolosi buat kali ketiga.
Malangnya, perkara itu berlaku pada minit ke-50. Seksa yang menggalas peranan sebagai kapten meledakkan gol ketiga Thailand dengan menewaskan Nogueira.
Chawanwit Sealao menambah derita Timor Leste dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-74. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Timor Leste tersingkir daripada kejohanan. Thailand boleh mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan syarat menewaskan Myanmar dalam aksi terakhir kumpulan pada 22 Julai.