Pra-Musim: Arsenal Bangkit Tundukkan Newcastle United
MakanBola
Arsenal

Arsenal bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Newcastle United dalam aksi pra-musim di Stadium Nasional Singapura.

The Gunners makin bersemangat selepas menewaskan AC Milan baru-baru ini. The Magpies pula mahu bangkit selepas dibelasah Celtic 4-1 pada 19 Julai lalu.

Bukayo Saka terus diberi kepercayaan mengetuai serangan Arsenal. Newcastle pula menurunkan bekas pemain sayap Manchester United, Anthony Elanga.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Gawang Arsenal yang dikawal David Raya bocor seawal minit keenam.

Selepas menerima hantaran Sandro Tonali, sepakan kurang kemas Elanga berjaya memperdayakan bekas penjaga gol Brentford itu sebelum melintasi garisan gol.

Tersentak, The Gunners yang dibimbing Mikel Arteta segera memperkemaskan rentak permainan mereka. Hasilnya, gol penyamaan diraih pada minit ke-33 menerusi Mikel Merino.

Bekas pemain Real Sociedad itu pantas menyudahkan hantaran Kai Havertz melepasi Nick Pope. Arsenal kemudiannya mendahului 2-1 dua minit selepas itu hasil gol sendiri Alex Murphy.

The Magpies berusaha memburu jaringan penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, pengendali Newcastle, Eddie Howe memasukkan sembilan pemain gantian. Ini termasuk Jacob Murphy, Kieran Trippier dan Joelinton.

Kemasukan sembilan pemain ini memberi nafas baharu kepada rentak permainan juara Carabao Cup 2024/25 itu. Murphy menyamakan kedudukan buat Newcastle pada minit ke-58.

Bola rembatan deras pemain sayap itu berjaya melepasi badan Raya sebelum menerjah jaring. Situasi ini mendorong Arteta memasukkan Martin Odegaard, Declan Rice dan Kepa Arrizabalaga.

Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Arsenal dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas pengadil mengesan Joelinton menjatuhkan bintang muda The Gunners, Max Dowman.

Odegaard tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-85 yang menewaskan penjaga gol gantian Newcastle, John Ruddy. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sofascore memilih Dowman sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.5. Elanga dan Tonali dipilih pemain terbaik The Magpies dengan 7.2 mata.

Selepas ini, The Gunners akan menentang Tottenham Hotspur di Hong Kong pada 31 Julai. Newcastle pula akan menentang K-League All Stars yang dibimbing bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada 30 Julai.