Pra-Musim: Careca Wira Terengganu Ikat Svay Rieng
MakanBola
Terengganu FC

Dua gol Careca memastikan Terengganu FC bangkit mengikat juara Cambodian Premier League (CPL), Svay Rieng FC 2-2 dalam aksi pra-musim di Padang Latihan Sime Darby.

Aksi persahabatan ini merupakan sebahagian daripada tiga aksi pra-musim Terengganu semasa berada di Lembah Klang.

Terengganu menurunkan barisan terkuat termasuk bekas penyerang Svay Rieng, Gabriel Silva. Silva bergandingan dengan Yann Mabella dan Akhyar Rashid di bahagian serangan.

Malangnya, Svay Rieng membolosi gawang Peteh dua kali pada babak pertama. Gol sendiri dan gol penyerang baharu kelab itu, Kwame Peprah memastikan Svay Rieng mendahului 2-0 sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan anak buah Badrul Afzan Razali tampil lebih garang. Hasilnya, Careca menyumbat dua gol bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Selepas ini, Terengganu mengalihkan fokus kepada aksi persahabatan seterusnya menentang pendatang baru Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United pada 16 Julai.