Pra-Musim: Gol Awal JDT Kecewakan Riyadh
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) menutup kempen pra-musim di Sepanyol dengan kemenangan 1-0 ke atas Riyadh SC

Kempen pra-musim JDT kini sudah hampir 3 minggu berjalan di Sepanyol dengan skuad Harimau Selatan ini turun bertemu kelab dari Arab Saudi, Riyadh SC dalam perlawanan pemanas badan ke-7.

Sementara Riyadh SC yang berada di tangga ke-11 Saudi Pro League musim lalu pula mahu menjadikan aksi berdepan JDT ini sebagai permulaan positif sebaik sampai di Sepanyol bagi aksi pra-musim.

Riyadh SC menjadi lawan kedua JDT dari rantau Asia selepas kelab dari Qatar, Al-Rayyan berjaya menumbangkan pasukan gergasi tanah air itu dalam aksi persahabatan pada minggu lalu

Untuk aksi ini, Xisco Munoz menurunkan kesebelasan terbaik dengan dua pemain kacukan Malaysia iaitu Hector Hevel dan Nacho Mendez memimpin jentera tengah JDT untuk aksi kali ini.

Jaringan tunggal perlawanan berjaya diraih oleh pasukan JDT seawal minit ke-10 menerusi penyudah tajam oleh penyerang Malaysia, Joao Figueiredo yang tenang menewaskan penjaga gol Riyadh.

Seakan tersentak, Riyadh SC cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan dengan melancarkan siri serangan bertali arus ke arah kubu JDT namun pemain Harimau Selatan dilihat tenang mengawal situasi.

Kemasukan Samu Castilejo, Afiq Fazail serta Moussa Sidibe diharap mampu memberi kestabilan dan menambah sengat pasukan namun tiada tambahan jaringan terhasil baik untuk JDT mahupun Riyadh.

Perlawanan di Estadi Olimpic Camilo Cano berakhir dengan keputusan 1-0 memihak JDT.

Setelah 7 aksi pra-musim di Sepanyol ini, JDT merekodkan 3 kemenangan, dua kali seri dan dua kekalahan dan akan balik ke tanah air menjelang perlawanan Piala Sumbangsih pada 8 Ogos ini.