Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan kekalahan pertama dalam aksi pra-musim di Sepanyol apabila kalah di tangan Valencia Mestalla pada awal pagi Selasa.
Perlawanan pra-musim ke-5 JDT di Sepanyol menyaksikan skuad Harimau Selatan turun menentang Valencia Mestalla yang juga pasukan feeder untuk kelab terkemuka di LaLiga, Valencia CF.
Kesebelasan terbaik ditampilkan oleh pengendali JDT, Xisco Munoz pada aksi kali ini dengan nama-nama seperti Corbin Ong, Christian Abad dan Park Jun-heong diberikan peluang beraksi terlebih dahulu.
Jaringan tunggal perlawanan berjaya dihasilkan oleh tonggak tengah Valencia Mestalla berusia 17 tahun, Jaume Dura yang bijak menyudahkan peluang di minit ke-35 untuk tuan rumah di hadapan 1-0.
Seakan tersentak, JDT berusaha untuk menyerang balas dan melancarkan gerakan bertubi-tubi namun tiada sebarang gol yang terhasil selepas itu sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil.
Perlawanan di Estadi Olimpico Camilo Cano akhirnya berakhir dengan keputusan 1-0 yang menyaksikan kekalahan pertama JDT dalam aksi pra-musim di Sepanyol selepas cemerlang di 4 aksi sebelum ini.
Lawan seterusnya yang menanti JDT dalam aksi pra-musim ini adalah kelab dari Qatar Al-Rayyan SC pada 16 Julai ini di Pusat Latihan San Pedro Del Pinatar dalam perlawanan ke-6 di sana.