Kuching City FC kembali bangkit daripada kekalahan di tangan Persita Tangerang apabila mengikat Dewa United 2-2.
Selepas tewas tipis dalam aksi persahabatan terbaru di Indonesia baru-baru ini, The Cats berharap dapat bangkit bila menentang The Deity Warriors.
Meskipun begitu, anak buah Jan Olde Riederink bukan calang-calang pasukan. Ini kerana mereka merupakan naib juara Liga 1 Indonesia musim 2024/25.
Aksi ini turut memberi peluang kepada jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak untuk menurunkan tonggak import terbaru mereka, Ronald Ngah Wanja.
Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu membuktikan dirinya tetap berbisa dengan meledakkan salah satu gol The Cats.
Satu lagi gol Kuching City disumbang oleh pemain sayap Timor Leste, Joao Pedro. Selain Ngah, Aidil turut menurunkan Jordan Mintah yang dikekalkan untuk musim 2025/26.
The Cats masih ada baki beberapa perlawanan termasuk satu lagi aksi menentang Persita. Perlawanan itu bakal berlangsung di hadapan penyokong pada 27 Julai ini.