Liverpool bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan pra-musim di Asia dengan menewaskan kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.
Selepas tewas 4-2 di tangan AC Milan di Hong Kong, The Reds berharap dapat bangkit apabila menentang finalis Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 itu.
Penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili dibawa masuk sebagai pengganti Alisson. Kaina Tanimura mengetuai jentera serangan Marinos.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool berusaha mencari jaringan awal menerusi Mohamed Salah, Cody Gakpo dan dua bintang baharu mereka, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike.
Gakpo hampir meletakkan The Reds di hadapan pada minit kelapan. Meskipun rembatan beliau berjaya menewaskan Park Il-kyu, rembatan pemain sayap Belanda itu terkena tiang.
13 minit kemudian, Gakpo sekali lagi menguji kecekapan penjaga gol Korea Selatan itu. Malangnya, rembatan beliau berjaya dinafikan Il-kyu.
Pemain tengah Marinos, Jun Amano hampir menggegar gawang Liverpool pada minit ke-40. Walau bagaimanapun, percubaan beliau disekat Mamardashvili.
Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, pengurus The Reds, Arne Slot memasukkan Darwin Nunez dan Curtis Jones untuk menambah bisa jentera serangan.
Marinos mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-54 menerusi Asahi Uenaka. Uenaka berjaya memperdayakan pertahanan Liverpool sebelum menolak bola melepasi Mamardashvili.
Tersentak, The Reds segera memperkemaskan rentak permainan mereka. Hasilnya, Liverpool menyamakan kedudukan lapan minit selepas itu menerusi Wirtz.
Pengganti Wirtz, Trey Nyoni terus menceriakan kem juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan melepaskan rembatan yang menewaskan Il-kyu pada minit ke-67.
Liverpool kemudiannya memasukkan Alexis MacAllister, Andrew Robertson, Jeremie Frimpong dan Harvey Elliott sebagai pemain gantian.
Pemain gantian, Rio Ngumoha memastikan kemenangan milik The Reds dengan gol ketiga pada minit ke-86. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Liverpool akan melengkapkan persiapan pra-musim dengan menentang Athletic Bilbao pada 5 Ogos ini. Ini disusuli aksi The FA Community Shield antara mereka dan Crystal Palace lima hari selepas itu.