Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) hampa selepas tumpas di tangan Negeri Sembilan dalam perlawanan pra-musim ke-4 di Cheras.
Aksi tumpuan pada Sabtu menyaksikan Kelantan RW memilih satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan sebagai lawan selepas berdepan Terengganu dan Melaka sebelum aksi Liga A1 bermula.
Norshahrul Idlan Talaha mengetuai barisan pemain Kelantan RW bersama dua import baharu sementara Negeri Sembilan menurunkan Jovan Motika serta Aqil Razak di dalam senarai kesebelasan utama.
Aksi tampak rancak dan menghiburkan apabila Jovan Motika memiliki peluang bagi meletakkan pelawat di depan sebelum percubaan kaki kanannya ditangkap Shafiq Afifi di pintu gol Kelantan RW.
Tonggak import baharu Kelantan RW, Emmanuel Mbarga dan Matyo mencipta rangkaian serangan baik dari sebelah sayap namun penyudah kurang kemas Wan Fazli buatkan peminat hampa.
Gol pembukaan berjaya dihasilkan oleh pemain import Negeri Sembilan, Mio Tsuneyasu yang hadir dengan tandukan cantik berpunca dari hantaran lintang oleh Jovan Motika pada minit ke-32.
Separuh masa pertama tamat, Kelantan RW 0-1 Negeri Sembilan.
Kembali dari rehat, Negeri Sembilan memasukkan 3 bintang utama iaitu Azri Ghani, Khuzaimi Piee serta Takumi Sasaki di awal babak kedua bagi menambah kekuatan pasukan Sang Rusa kali ini.
Seorang lagi pemain gantian, A. Selvan menambah kelebihan untuk pasukan pelawat apabila menyudahkan hantaran lolos daripada Luqman Hakim untuk Kelantan RW ketinggalan dua jaringan.
Tuan rumah hampir mencetak gol pertama di pertengahan aksi namun rembatan penyerang import baharu, Otis Khan sedikit tinggi melepasi pintu gawang Negeri Sembilan dan skor tidak berubah.
Aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Negeri Sembilan.