Pra-Musim: Sabah Selesa Kalahkan Brunei DPMM
MakanBola
Sabah FC

Sabah FC bangkit daripada kekalahan di tangan Buriram United apabila menewaskan Brunei DPMM FC di Stadium Likas.

Selepas dibelasah 8-2 di tangan Thunder Castle, Sabah berharap dapat bangkit apabila bertemu dengan anak buah Jamie McAllister itu.

Hal ini mendorong Martin Stano menurunkan barisan terkuat di Stadium Likas. Antara pemain yang mendapat kepercayaan beliau ialah Stuart Wilkin, Darren Lok, Dane Ingham dan Daniel Ting.

Daniel membalas kepercayaan Stano dengan meletakkan Sang Badak di hadapan pada minit ke-11.

Pemain import Sepanyol, Miguel Cifuentes menggandakan kelebihan Sabah 20 minit selepas itu. Ini memastikan tuan rumah mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Sabah terus memburu gol tambahan berbekalkan sorakan penyokong di Stadium Likas.

Sang Badak turut membuat beberapa pertukaran pada separuh masa kedua. Antara pemain yang dimasukkan ialah Dean Pelekanos dan penyerang Malaysia B-23, Fergus Tierney.

Sabah menambah satu lagi gol menerusi Daniel pada minit ke-71. DPMM membalas menerusi satu gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, DPMM dijadual bertemu kelab Indonesia, Sumsel United pada 2 Ogos ini.