Hasrat Selangor FC melebarkan rekod kemenangan pra-musim di Thailand disekat kelab Thai League 2, Kasetsart FC.
Ini selepas kelab yang berpangkalan di Bangkok itu mengikat anak buah Katsuhito Kinoshi 1-1 dalam aksi terbaru pra-musim di Thailand.
Selepas meraih kemenangan ke atas Bangkok FC, Merah Kuning berharap dapat mencipta kemenangan ke atas kelab yang diberi jolokan The Emerald Naga itu.
Selangor meledakkan gol menerusi bekas penyerang Buriram United, Chrigor Moraes. Kasetsart kemudiannya menyumbat gol penyamaan menerusi Stevia Mikuni.
Keputusan ini menyaksikan Selangor merekodkan satu kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.
Merah Kuning akan mengharungi satu lagi aksi pra-musim di Thailand sebelum pulang ke tanah air.
Apabila mereka kembali ke Malaysia, Selangor dijadual bertemu Asia Warriors FC dalam satu lagi aksi pra-musim pada 27 Julai.
Tarikh ini cukup penting kerana pada hari tersebut, barisan pemain Selangor yang akan menghadapi musim 2025/26 akan diperkenalkan kepada penyokong.