Pra-Musim: Terengganu ‘Hentam’ Phnom Penh Crown
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC menutup jelajah pra-musim di Lembah Klang dengan kemenangan apabila membelasah Phnom Penh Crown 4-1.

Selepas merekodkan keputusan seri dengan Svay Rieng dan UM Damansara United, anak buah Badrul Afzan Razali berharap dapat menutup jelajah pra-musim dengan kemenangan.

Meskipun begitu, Phnom Penh bukan pasukan yang calang-calang. Ini kerana anak buah Oleg Starynskyi itu merupakan bekas juara Cambodian Premier League (CPL) 2022.

Hal ini mendorong Badrul menurunkan barisan terkuat bagi menghadapi cabaran The Red Singha. Antara pemain yang dipilih dalam kesebelasan utama ialah Baqiuddin Shamsudin, Nurillo Tukhtasinov dan Yann Mabella.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Gabriel Silva memastikan Peteh memiliki satu gol untuk dibawa ke rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Terengganu tampil lebih garang. Careca, Nurillo dan Mabella masing-masing menyumbat satu gol bagi membolehkan Terengganu meraih kemenangan 4-1.

Skuad Peteh bakal kembali ke Pantai Timur selepas tamat jelajah pra-musim di Lembah Klang. Pasukan itu juga dijangka mengatur aksi persahabatan baru menggantikan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).