Pra-Musim: Terengganu Menang Selesa Atasi Penang
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu melakar kebangkitan di separuh masa kedua bagi mengatasi cabaran Penang dalam aksi persahabatan pada Selasa.

Aksi pra-musim kedua untuk pasukan Terengganu selepas terikat seri menentang Kelantan RW minggu lalu manakala Penang pula tiba di Pantai Timur dengan barisan lebih segar.

4 bintang import baharu Terengganu memulakan perlawanan di bangku simpanan dan hanya Nurillo Tukhtasinov berada di dalam kesebelasan utama yang diketuai oleh Shahrul Nizam.

Jaringan pembukaan berjaya dihasilkan oleh tonggak import, Kipre Tchetche pada minit ke-29 untuk meletakkan pasukan Penang mendahului 1-0 di hadapan penyokong Terengganu.

Usaha berterusan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil ketika mana pertahanan tengah, Safwan Mazlan berjaya membolosi gawang pasukan Penang.

Separuh masa pertama tamat, Terengganu 1-1 Penang.

Kembali dari bilik persalinan, permainan bersambung dengan rancak tatkala Terengganu dan Penang berusaha keras untuk memburu jaringan tambahan sejak wisel babak kedua ditiup.

Pemain gantian, Khalaif Naskam menceriakan peminat tuan rumah dengan jaringan kedua untuk Terengganu pada minit ke-78 sekaligus menambah tekanan buat pasukan pelawat.

Malam penuh gemilang Terengganu ditutup dengan jaringan ke-3 menerusi penyudah pemain import baharu Sang Penyu, Yann Mabella ketika aksi berbaki 8 minit sebelum berakhir.

Aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tamat dengan keputusan 3-1 memihak Terengganu.