Presiden FIFA Bakal Terima Kerakyatan Lubnan
MakanBola
Gianni Infantino

Presiden FIFA, Gianni Infantino bakal menerima kerakyatan Lubnan.

Perkara ini diumumkan Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.

LFA memaklumkan ini sebagai tanda penghargaan kepada Infantino dalam membantu bola sepak negara itu termasuk dari segi infrastruktur.

“Presiden Lubnan, Joseph Aoun bersetuju untuk menganugerahkan kerakyatan Lubnan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Langkah ini disifatkan sebagai simbolik dan tanda penghargaan Lubnan terhadap peranan beliau dalam membangunkan dan memberi sokongan berterusan kepada bola sepak Lubnan,” kata LFA dalam satu kenyataan.

Infantino kini perlu melengkapkan semua proses dokumentasi mengikut lunas undang-undang Lubnan. Setelah itu, proses kerakyatan beliau baru boleh dimuktamadkan.

Anugerah ini disifatkan berbeza kerana mengikut undang-undang Lubnan, wanita tidak boleh menyerahkan kerakyatan mereka kepada suami atau anak-anak. Hanya suami saja yang boleh berbuat demikian.

Hal ini terpakai kepada Infantino kerana isterinya, Lina al-Ashkar merupakan warga Lubnan.

Sepanjang tempoh dua hari beliau mengadakan di Lubnan, Presiden FIFA itu turut bersedia membantu LFA memiliki ibu pejabat dan stadium baharu yang moden.