Presiden FIFA, Gianni Infantino bakal membuat tinjauan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC).
Stadium Astro melaporkan ini sebahagian daripada aturan lawatan Infantino ke Malaysia semasa sidang kemuncak ASEAN.
NTC yang terletak di Presint 5, Putrajaya merupakan projek jangka panjang FAM dengan tujuan menyokong pembangunan skuad kebangsaan termasuk skuad senior Harimau Malaya.
Projek tersebut telah dilancarkan pada Jun 2024. Pada Mac lalu, delegasi FIFA telah mengadakan tinjauan sekitar projek berkenaan.
Delegasi FIFA diwakili Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia & Oceania), Sanjeevan C. Balasingam, Ketua Pejabat Serantau FIFA (Asia Tenggara & Asia Timur), Lavin Vignesh dan Pengurus Pembangunan FIFA (Asia Timur), CJ Chen Jun.
Lawatan tersebut turut disertai Ahli Majlis FIFA dan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Kerja-kerja bawah tanah fasa pertama NTC seperti penyediaan sistem saliran, sistem penuaian air hujan, tapak untuk pagar dan lampu limpah pada ketika itu 50% siap.
Sekiranya pembinaan fasa pertama berjalan lancar seperti dirancang, fasa pertama NTC dijangka siap pada Disember 2026. Fasa kedua NTC pula dijangka siap pada Disember 2027.
NTC dibina dengan kos RM69 juta menerusi dana FIFA dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Selain membuat tinjauan sekitar NTC, Infantino juga akan mengadakan kunjungan ke program Football For Schools.
Ini bukan kali pertama Infantino mengadakan lawatan ke Malaysia. Sebelum ini, beliau mengetuai delegasi FIFA mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada April 2019.