Presiden FIFA, Gianni Infantino, didakwa melanggar Artikel 15 Kod Etika badan itu selepas beliau dilihat menyokong agenda politik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam satu acara di Miami.
Berucap ketika di American Business Forum pada Rabu lalu yang turut dihadiri Trump, Infantino dilihat memuji presiden AS tersebut secara terbuka hasil hubungan baik yang dimiliki dua individu terbabit.
“Kami mempunyai hubungan yang baik. Saya amat bernasib baik. Saya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Presiden Trump, di mana saya menganggap beliau sebagai kawan yang sangat rapat. Sudah tentu beliau banyak membantu dalam segala yang kami lakukan untuk Piala Dunia,” kata Infantino.
“Beliau bertindak. Beliau melakukan apa yang dikatakannya. Beliau mengatakan apa yang difikirannya. Beliau sebenarnya menyuarakan apa yang difikirkan ramai orang juga, tetapi mungkin tidak berani untuk diucapkan, dan itulah sebabnya beliau begitu berjaya. Saya harus katakan dan kadang-kadang terkejut apabila membaca beberapa komen negatif.”
“Saya bukan orang Amerika, tetapi setakat yang saya faham, Presiden Trump dipilih di Amerika Syarikat dan dipilih dengan jelas. Apabila anda berada dalam demokrasi yang hebat seperti Amerika Syarikat, anda sepatutnya menghormati keputusan pilihan raya, bukan?” kata Infantino.
“Beliau hanya melaksanakan apa yang beliau kata akan lakukan. Jadi saya rasa kita semua patut menyokong apa yang dilakukannya kerana saya rasa ia kelihatan sangat baik,” tambah beliau.
Menurut laporan The Athletic, Miguel Maduro, bekas pengerusi jawatankuasa tadbir urus FIFA antara 2016 dan 2017, berkata kenyataan Infantino adalah pelanggaran jelas terhadap peraturan FIFA mengenai neutraliti politik.
“Satu perdebatan boleh berlaku mengenai sejauh mana kewajipan itu harus meluas kepada kedudukan politik yang diambil apabila pegawai FIFA bertindak dalam kapasiti peribadi mereka,” kata beliau kepada The Athletic.
“Namun, itu jelas bukan kes kenyataan yang dipersoalkan ini. Ia dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Presiden FIFA di acara yang jelas beliau sertai sebagai Presiden FIFA.”
“Bahagian terakhir kenyataan beliau lebih daripada sekadar mengiktiraf legitimasi Presiden Trump yang ia menyokong program politik dan tindakannya dan menyatakan bahawa orang lain juga patut menyokongnya. Beliau mengambil sikap dalam apa yang merupakan perdebatan politik dalaman di AS.”
“Untuk kekal neutral dari segi politik, seseorang tidak boleh mengambil sikap dalam perdebatan politik itu, apatah lagi menyatakan bahawa semua orang patut menyokong dasar Presiden Trump. Melakukan demikian jelas merupakan pelanggaran terhadap kewajipan neutraliti politik yang dikenakan ke atas mana-mana pegawai FIFA menurut Artikel 15 Kod Etika FIFA,” tambah Maduro.
FIFA setakat ini enggan mengulas mengenai tuduhan pelanggaran statut itu. Pelanggaran statut boleh membawa kepada penyiasatan oleh Jawatankuasa Etika FIFA, yang berperanan menyiasat dan menilai kelakuan pegawai yang terikat dengan Kod Etika FIFA.