Sebuah hantaran yang dimuat naik oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino menarik perhatian apabila terdapat kelibat Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin.
Tan Sri Haji Hamidin sebelum ini dilaporkan berangkat ke ibu pejabat FIFA yang terletak di Zurich untuk membincangkan tentang hukuman yang dikenakan ke atas FAM dan 7 pemain warisan negara.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang makluman rasmi yang dikongsikan mengenai perkembangan penggantungan dan denda yang dikenakan terhadap Malaysia oleh FIFA pada Jumaat lalu.
Fokus orang ramai secara tiba-tiba terarah kepada sekeping foto yang dimuat naik oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino di laman Instagram pada Rabu yang menyaksikan kelibat Tan Sri Haji Hamidin turut kelihatan sama.
Infantino memuat naik beberapa keping foto yang lain juga dalam hantaran yang sama untuk meraikan Ahli Majlis FIFA ketika jamuan makan malam yang diadakan sehari sebelum mesyuarat penting pada Khamis.
Penyokong setia Harimau Malaya ketika ini masih menunggu sebarang keputusan atau perkembangan baharu melibatkan skuad kebangsaan khususnya berkenaan 7 tonggak warisan Malaysia.
FAM dalam sebuah kenyataan pada Rabu masih menantikan dokumen penuh keputusan penghakiman oleh FIFA sebelum dapat bergerak ke langkah seterusnya iaitu proses rayuan.