Prestasi Machida Zelvia Jatuh Mendadak, Peluang JDT Cipta Kejutan
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang untuk memanfaatkan kelebihan prestasi tatkala melayan kunjungan kelab Jepun, Machida Zelvia.

Pasukan kendalian Xisco Munoz dalam momentum cemerlang selepas mencatatkan empat kemenangan daripada lima aksi terakhir.

Prestasi ini termasuklah kemenangan selesa 4-0 ke atas jaguh Thailand, Bangkok United pada aksi kedua ACC Shopee Cup 2025-26 di laman sendiri pada 25 September lalu.

Skuad Harimau Selatan sudah pasti mahu bangkit selepas tewas kepada Buriram United pada aksi pertama saingan AFC Champions League Elite (ACLE) tempoh hari.

JDT mempamerkan ketajaman di hadapan gawang apabila menjaringkan 22 gol dalam lima aksi terakhir sekali gus menjadi amaran awal buat wakil Jepun itu.

Berdasarkan prestasi semasa, Machida Zelvia tidak berada dalam momentum terbaik selepas hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima aksi terakhir.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Fagiano Okayama tidak cukup untuk menutup kesukaran yang dihadapi anak buah Go Kuroda termasuklah tiga keputusan seri.

Jentera serangan Machida Zelvia hanya menjaringkan empat gol daripada empat aksi terakhir sebelum berkunjung ke Johor Bahru.

Aksi antara JDT vs Machida Zelvia dijadual berlangsung pada Selasa, 30 September 2025 jam 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim.