Pasukan Pantai Timur, Kelantan WTS FC amat selektif dalam memilih tonggak import baharu untuk mengharungi baki saingan Liga A1 Semi-Pro.
Ini selepas kelab itu memperkenalkan tiga tonggak import baharu di platform rasmi mereka baru-baru ini. Tiga tonggak import tersebut ialah Arbdallah Dandy, Anthony Arthur dan Emmanuel Mosindo.
Meskipun ketiga-tiga pemain tiada dalam pangkalan data rasmi seperti Transfermarkt dan Wikipedia, Kelantan WTS membuat saringan ketat bila memilih pemain import.
Ini kerana mereka bukan saja menjalani latihan bersama pasukan itu selama tiga minggu. Malah, mereka juga mengharungi lima aksi persahabatan bersama Kelantan WTS sebelum dipilih.
Setiap pemain import dinilai oleh barisan kejurulatihan diketuai ketua jurulatih, Kamaruddin Muhamad. Mereka akan dinilai dari segi prestasi dan keserasian dengan pemain tempatan.
Prosedur ketat Kelantan WTS ini bukan saja memastikan pemain yang dibawa masuk memenuhi keperluan taktikal pasukan. Malah, ini juga membantu pengurusan pasukan dari segi kewangan.
Kelantan WTS mengikut jejak beberapa pasukan Liga A1 yang menggunakan kudrat tonggak import musim ini.
Selain kelab itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II, UM-Damansara United, Perak FA, Kedah FA dan Kelantan Red Warrior (KRW FC) juga menggunakan tonggak import.