Paris Saint-Germain (PSG) memastikan tempat ke final Piala Dunia Kelab 2025 setelah menyingkirkan Real Madrid dalam perlawanan separuh akhir pada awal pagi Khamis.
Pertembungan dua kelab gergasi Eropah ini meraih perhatian ramai dengan PSG dan Real Madrid ketika ini membawa satu momentum luar biasa dengan misi meneruskan kemaraan ke pentas akhir.
Trio serangan Doue, Dembele dan Kvaratskhelia jadi taruhan utama PSG pada pertemuan ini sementara Real Madrid pula menurunkan gandingan Kylian Mbappe serta Vinicius Jr bagi mengemudi serangan.
Seawal minit ke-6, PSG unggul mendahului permainan hasil tolakan mudah bintang tengah, Fabian Ruiz ke gawang Real Madrid selepas berlaku situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti.
Pemain sayap lincah, Ousmane Dembele menambah duka buat pasukan Real Madrid apabila meledak jaringan kedua PSG selepas memanfaatkan kesilapan Antonio Rudiger di minit ke-9.
Gawang Real Madrid yang dikemudi oleh Thibaut Courtois ini terus dibolosi oleh barisan serangan PSG apabila Fabian Ruiz sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-24 permainan.
Separuh masa pertama tamat, PSG 3-0 Real Madrid.
Kembali dari rehat, PSG yang juga juara Eropah musim lalu berjaya menyumbat gol ke-4 sebaik babak kedua bermula namun jaringan Desire Doue dibatalkan atas dakwan ofsaid oleh pengadil.
Hari gemilang buat PSG dilengkapkan dengan jaringan ke-4 di hujung aksi menerusi rembatan deras penyerang gantian, Goncalo Ramos yang menewaskan Thibaut Courtois sekali lagi.
Aksi di Stadium MetLife berakhir dengan keputusan 4-0 memihak PSG.
Menanti PSG di final Piala Dunia Kelab 2025 nanti adalah jaguh England, Chelsea yang berjaya menewaskan kelab Brazil, Fluminense dalam satu lagi aksi separuh akhir.